Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, merupakan seorang Doktor Perubatan yang mendapat MBBS daripada Universiti Malaya pada 1992 dan Licentiate of the Occupational Medicine dari Royal College of Physicians di Ireland pada tahun 1997. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, bertugas sebagai seorang doktor selama beberapa tahun sehingga 2011 di mana beliau menerima tawaran dari PERKESO sebagai Pengurus Besar Bahagian Perubatan dan Rehabilitasi. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, merupakan doktor perubatan yang pertama bekerja di PERKESO. Kemudiannya Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, dinaikkan pangkat ke Pengurus Besar Kanan (Operasi), Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) dan pada April 2015, beliau dilantik sebagai Ketua Eksekutif PERKESO sehingga hari ini.
Fungsi utama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang ditubuhkan pada 1971 adalah suatu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada semua pekerja termasuk yang bekerja sendiri serta pekerja asing melalui skim-skim keselamatan sosial berasaskan konsep masyarakat penyayang, selaras dengan Dasar Pembangunan Negara dan Wawasan 2020 (kini diganti dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030), menerusi punca-punca kuasa berikut; Menteri Sumber Manusia, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Kementerian Kewangan, Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971 dan Perintah-Perintah yang berkaitan serta Pekeliling Majikan.
Setelah mencapai prestasi yang membanggakan pada lima tahun sebelumnya, PERKESO telah melancarkan Pelan Strategik PERKESO 2016-2020 yang berpandukan hala tuju Misi Nasional Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 (RMKe-11). Pelan Strategik PERKESO 2016-2020 merupakan satu pelan taktikal yang melakar perjalanan pembangunan masa hadapan, mencerminkan komitmen perubahan dan kebertanggungjawaban bersama untuk menjadikan PERKESO sebagai organisasi yang unggul dalam menyediakan skim-skim perlindungan keselamatan sosial Negara.
Fokus Pelan Strategik PERKESO 2016-2020 lebih terarah kepada sistem penyampaian perkhidmatan atau outcome berimpak tinggi yang cepat kepada ekonomi modal (capital economy) dan ekonomi rakyat (people economy) dengan kos berpatutan. Sebagai pengamal keselamatan sosial, kesejahteraan masyarakat pekerja adalah agenda penyampaian perkhidmatan yang perlu diberi keutamaan dengan mengoptimumkan impak kepada pencarum PERKESO.
Pelan Strategik menggariskan objektif strategik PERKESO yang secara umumnya bertujuan untuk memastikan perkhidmatan PERKESO sentiasa relevan dan memenuhi tuntutan pelanggan dan stakeholders.
PERKESO sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia tidak terkecuali dari bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan. PERKESO akan terus meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui Skim Keselamatan Sosial dengan perancangan strategik secara menyeluruh, saling melengkapi dan bertunjangkan esprit de corps dalam organisasi ke arah mencapai hala tuju yang sama.
Pelan Strategik PERKESO 2016-2020 yang mengandungi lima teras strategik dan pemacu perubahan, dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat PERKESO menjadi peneraju keselamatan sosial yang unggul dan cemerlang menjelang tahun 2020.
Nilai Teras Bersama yang dipegang oleh seluruh warga PERKESO secara langsung menyumbang kepada pembangunan nasional. Nilai-nilai tersebut adalah berfokus kepada Pelanggan, Prihatin, Kompeten, Inovatif dan Ketepatan.
Nilai korporat PERKESO adalah PERKESO PRIHATIN di mana semua warga PERKESO berpegang kepada nilai kemanusiaan dan prinsip profesionalisme dalam menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan pihak berkepentingan serta memenuhi aspirasi rakyat.
Secara ringkasnya, cabaran-cabaran yang dihadapi semasa menjalankan tugas di PERKESO ialah pertama, mentransformasikan budaya organisasi (organisational culture) ke arah budaya yang lebih positif, berpaksikan pelanggan, mengaplikasikan teknologi dalam melaksanakan perkhidmatan yang pantas. Kedua, menguruskan warga kerja di PERKESO yang pelbagai tingkahlaku dan dari latarbelakang yang berbeza. Ketiga, memastikan PERKESO bergerak selari dengan perkembangan semasa seperti Revolusi Industri 4.0 dengan penggunaan teknologi digital dan menyediakan perlindungan pekerjaan disebabkan Revolusi Industri 4.0.
Inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh PERKESO untuk menyokong kerajaan dalam pembangunan negara (nation building) ialah, PERKESO menyokong misi Kerajaan untuk membolehkan semua rakyat Malaysia mencapai taraf kehidupan yang berkualiti dan selesa tanpa mengira di mana mereka tinggal atau pendapatan mereka. Seperti yang Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman katakan tadi, Pelan Strategik PERKESO 2016-2020 adalah berteraskan RMK-11 yang berfokus kepada agenda pertumbuhan yang berpaksikan rakyat.
Lima Teras Strategik utama telah dikenal pasti dalam Pelan Strategik tersebut bagi membantu PERKESO melaksanakan fungsi dan peranannya dengan lebih proaktif dan berdaya saing. Teras Pertama, Memperkasa Kecemerlangan dan Pembangunan Modal Insan. Kedua, Mentransformasi Perkhidmatan Menerusi Penjenamaan. Ketiga, Memperkukuh Kemampuan dan Tadbir Urus. Keempat, Meningkatkan Kesejahteraan Sosial Pelanggan dan Kelima, Melestarikan Budaya Kreativiti, Inovasi dan Kualiti.
Antara inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam lima teras tersebut yang menyokong Kerajaan dalam pembangunan nasional termasuk pembangunan sumber manusia yang berkompetensi dan berkemahiran, perkhidmatan menerusi medium elektronik, memantapkan pengurusan penilaian taksiran hilang upaya, rawatan perubatan dan pembekalan peralatan pemulihan, mengukuhkan dana dan melaksanakan dasar belanjawan berhemah, memperkasakan sistem pengurusan pelanggan, meningkatkan kesedaran pelanggan ke arah gaya hidup sihat dan selamat, menambahbaik faedah Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan, mempergiatkan publisiti PERKESO kepada golongan sasar, merakyatkan PERKESO dengan aktiviti turun padang, memperluaskan liputan keselamatan sosial dan melaksanakan polisi Kerajaan untuk meliputi sektor tidak formal.
Kini, PERKESO dalam fasa perlaksanaan terakhir untuk mencapai sasaran seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik PERKESO 2016-2020. Contohnya, dalam Teras Strategik 1, PERKESO mempunyai sumber manusia yang kompeten melalui Program Penilaian Potensi dan Kopetensi (PROSPEK), Program Pelan Penggantian (PROPER), Program Pelan Peralihan Kerjaya (PROJEK) serta kursus-kursus kemahiran. Dalam Teras Strategik 2, Kepuasan pelanggan dapat ditingkatkan melalui pencapaian yang tinggi dalam penyelesaian kes-kes tuntutan faedah, tempoh pembayaran faedah yang pendek, lebih prihatin kepada golongan OKU dan warga tua, pengurangan kes penipuan atau fraud dan mewujudkan pengamal keselamatan sosial. Dalam Teras Strategik 4, kesedaran keselamatan sosial telah meningkat termasuk pematuhan terhadap peraturan PERKESO dan juga penguatkuasaan skim perlindungan pekerja asing dan individu bekerja sendiri.
Perluasan skim keselamatan sosial adalah antara yang membawa titik perubahan (turning point) dalam landskap keselamatan sosial negara ini. Malah banyak lagi sasaran yang telah dicapai yang menyumbang kepada pembangunan nasional.
Pada pendapat Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman, pengurusan akhlak, sifat dan tingkah laku manusia penting di PERKESO. Pertama sekali, sumber manusia adalah aset terpenting bagi PERKESO dan di sini, mereka mementingkan pelaburan dalam pembangunan dan kesejahteraan modal insan. Hari ini, PERKESO mempunyai 3, 033 anggota di kesemua 54 pejabat di seluruh Malaysia. Dalam sektor perkhidmatan, pelanggan adalah pemegang taruh utama dan di PERKESO, ini merujuk kepada majikan, pekerja dan masyarakat pada umumnya. PERKESO menyediakan perlindungan kepada pekerja terhadap kecederaan yang berkaitan dengan pekerjaan, keilatan atau kematian dan juga kehilangan pekerjaan. Mereka tidak dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan jika kakitangan mereka tidak kompeten, berpengetahuan, mahir mahupun tidak prihatin atau mempunyai empati terhadap pelanggan. Jadi pengurusan akhlak, sifat dan tingkat laku manusia adalah penting di PERKESO kerana organisasi mereka berurusan terus dengan orang berinsurans. Justeru, mereka amat menitikberatkan kemahiran interpersonal serta nilai-nilai murni dan positif seperti amalan S4P iaitu SENYUM, SAPA, SALAM dan SANTUN (S4P) serta budaya korporat PERKESO PRIHATIN sebagai jati diri dan identiti mereka.
Budaya mesra pelanggan S4P PERKESO yang diperkenalkan pada 2015, telah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dengan anugerah di bawah kategori Inovatif, bersempena dengan Konvensyen AKRAB peringkat kebangsaan pada 13 Mei 2016. PERKESO juga melaksanakan Kursus Pemantapan Petugas Barisan Hadapan dan Garis Panduan Khidmat Pelanggan kepada petugas-petugas kaunter kerana sebagai petugas barisan hadapan, mereka merupakan touchpoint dan pintu masuk utama para pelanggan serta meningkatkan kesejahteraan pelanggan.
Semasa National Convention on GRP 2018, Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Wan Azizah telah menekankan kepentingan behavioural insights sebagai sebahagian daripada pembentukan strategi dan polisi yang baik.
Pihak PERKESO juga bersetuju dengan hala tuju tersebut. Malah di PERKESO, mereka menekankan behavioral insights atau pemahaman tingkah laku untuk mencapai visi dan misi mereka.
Visi PERKESO, adalah menjadi peneraju keselamatan sosial yang dinamik, unggul dan cemerlang sementara Misi PERKESO adalah memberi perlindungan keselamatan sosial kepada orang berinsurans dan tanggungan mereka menerusi skim-skim keselamatan sosial, serta memupuk kesedaran keselamatan dan kesihatan demi meningkatkan kesejahteraan sosial orang berinsurans.
PERKESO mengguna pakai konsep “Behavioural Insights” untuk berkhidmat kepada rakyat dan menguruskan pegawai-pegawai PERKESO. Yang pertama, semasa pelanggan berurusan dengan PERKESO, borang-borang dalam talian telah diisikan dengan data yang telah dimasukkan dahulu supaya kerja-kerja lebih mudah semasa berurusan dengan PERKESO.
Selain itu, PERKESO memperkenalkan program-program yang menarik untuk menarik perhatian kumpulan sasar dan juga pegawai-pegawai PERKESO. Sebagai contoh, PERKESO melaksanakan program di mana pegawai mendapat ganjaran mengikut bilangan langkah berjalan setiap individual. Tujuan program ini adalah untuk mempromosikan kesihatan fizikal bagi mengelak pelbagai penyakit seperti penyakit kardiovaskular.
PERKESO mempunyai laman web dan laman media sosial yang padat dengan informasi. Maklumat mengenai semua inisiatif PERKESO akan dikemaskini secara cepat dan tepat supaya dapat membantu kumpulan sasar untuk membuat keputusan. Dalam laman web, Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang mudah, ringkas dan dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat.
Selain itu, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman menekankan tingkah laku manusia merupakan elemen yang sangat penting dalam meningkatkan kesedaran keselamatan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia. Di PERKESO, kes-kes yang paling kerap berlaku adalah kes kemalangan semasa pekerja pergi dan balik dari tempat kerja dan juga penyakit tidak berjangkit.
Pada pendapat Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman, tingkah laku dan mentaliti manusia memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan dan meningkatkan kesedaran keselamatan dan kesihatan bagi kumpulan sasar. Mentaliti mementingkan diri sendiri semasa memandu, tidak mematuhi undang-undang di jalan raya dapat menjelaskan penyataan tersebut.
PERKESO menitikberatkan pencegahan yang bermula dari tingkah laku manusia. Andai kata sesebuah masyarakat mempunyai sistem perundangan yang baik, pegawai penguatkuasaan yang dedikasi, fasiliti yang baik mahupun teknologi yang canggih, tanpa tingkah laku dan mentaliti yang betul, hasil optimum tidak akan tercapai.
Untuk meningkatkan perlindungan keselamatan sosial serta kesedaran keselamatan dan kesihatan, PERKESO bukan sahaja menekankan pencegahan kemalangan bahkan dari aspek penyakit tidak berjangkit juga. Menurut beliau, kes-kes yang paling kerap berlaku di Malaysia kini merupakan kes kemalangan jalan raya khasnya yang melibatkan kumpulan kurang daripada umur 40. Selain itu, PERKESO mendapati penyakit tidak berjangkit termasuklah penyakit kardiovaskular, kencing manis dan tekanan darah tinggi kian hari kian meningkat.
Untuk menangani isu-isu penyakit tidak berjangkit dan kemalangan jalan raya, Dato’ Sri menekankan bahawa pendidikan memainkan peranan yang penting. PERKESO fokus pada mentaliti kumpulan sasar. Misalnya, mereka sentiasa didedahkan konsep ABC – “Antecedent, Behaviour, Consequences”. Misalnya, apabila mereka mengalami kemalangan, apakah kesan ke atas diri mereka dan apakah yang akan berlaku kepada ahli keluarga mereka. PERKESO cuba untuk menyentuh hati mereka supaya mereka sedar dan memahami akibat daripada kelalaian atau kecuaian mereka.
Mengubah tingkah laku bukanlah satu usaha yang mudah untuk kumpulan sasar yang dewasa. Sebenarnya, untuk mendapatkan impak yang baik dan berkesan, pendidikan tentang keselamatan dan pencegahan perlu bermula semasa kanak-kanak lagi. Misalnya, kanak-kanak perlu diberi pendedahan cara berhemah semasa memandu dan ibu bapa mereka sendiri perlu menjadi teladan kepada anak mereka. Sama juga dengan tabiat pemakanan yang menyumbangkan kepada faktor penyakit tidak berjangkit. Kita perlu mendidik anak kita bahawa makanan yang mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi adalah tidak baik kepada kesihatan. Dengan cara inilah, apabila kanak-kanak ini dewasa kelak, mereka sedikit sebanyak akan terpengaruh melalui minda bawah sedar (subconscious mind) mereka.
PERKESO mendapati bahawa banyak kemalangan yang berlaku sewaktu perjalanan pekerja pergi dan pulang dari tempat kerja khasnya penunggang motosikal. Ini disebabkan lebih 70% daripada jumlah kemalangan jalan raya melibatkan kumpulan tersebut. Sementara itu, dalam kes kemalangan maut melibatkan pekerja yang dilaporkan kepada PERKESO, dua pertiga adalah kemalangan perjalanan di mana penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kepada bilangan mangsa tertinggi dalam kes kemalangan maut di jalan raya.
Selain itu, PERKESO juga telah memperkenalkan program pemeriksaan kesihatan. Tujuan program ini dimulakan adalah supaya pekerja sedar akan status kesihatan mereka dan tahu cara untuk menjaga kesihatan mereka dengan efektif. Untuk menangani isu kemalangan, PERKESO telah menjalankan “Community Riding Program”. Dalam program ini, PERKESO bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, kerajaan tempatan dan badan bukan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran penunggang motosikal. Misalnya, PERKESO mengagihkan topi keledar dan romi motosikal secara percuma kepada penunggang supaya keselamatan mereka terjaga.
Untuk pegawai PERKESO, 10% daripada Indeks Prestasi Utama bergantung kepada gaya hidup mereka. Mereka perlu memastikan Body Mass Index (BMI) mereka adalah baik, mereka bebas daripada kolesterol tinggi dan kandungan gula yang tinggi. Jika mereka adalah pesakit diabetes, mereka perlu mendapatkan rawatan, mengambil ubat dan dapat dikawal. Selain itu, PERKESO akan memberi ganjaran kepada pegawai yang dapat mengurangkan berat badan, menjalankan aktiviti riadah yang bersesuaian dan menekankan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi (work-life balance). Mereka digalakkan untuk bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang sahaja. Selepas waktu kerja, mereka digalakkan untuk melakukan aktiviti riadah. Dato’ Sri berharap semua syarikat mengikut jejak PERKESO untuk meningkatkan kesihatan sosial.
Sebagai seorang pakar perubatan, Dato’ Sri sangat prihatin terhadap kesihatan pekerja. Misalnya, dalam setiap mesyuarat hanya makanan sihat seperti kacang dan buah-buahan disediakan. Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Dato’ Sri nampaknya kecil tetapi kesannya adalah amat signifikan.
Pemupukan nilai positif di kalangan warga PERKESO adalah antara pemandu perubahan untuk memacu transformasi PERKESO sebagai peneraju keselamatan sosial yang unggul.
Inisiatif yang disarankan oleh Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman untuk mengaplikasikan kepentingan behavioural insights sebagai sebahagian daripada pembentukan strategi dan polisi yang baik adalah, dalam menyediakan perlindungan keselamatan sosial, PERKESO berurusan dengan rakyat iaitu warga pekerja dan keluarga mereka, justeru PERKESO perlu menerapkan behavioural insights atau pemahaman tingkah laku dalam strategi dan polisi organisasi.
Dengan itu, PERKESO merumuskan Pelan Induk Sumber Manusia PERKESO 2016-2020 dengan matlamat untuk memperkasa modal insan PERKESO bagi melahirkan Pakar dalam bidang keselamatan sosial atau Subject Matter Experts, selain daripada memupuk budaya kreativiti, inovasi dan kualiti.
PERKESO juga telah membangunkan Blueprint Pembangunan Bakat & Modal Insan PERKESO 2018-2020 untuk mengurus cabaran-cabaran utama pembangunan modal insan secara berstruktur, sistematik dan seimbang. Blueprint ini dibangunkan secara strategik berdasarkan pelan-pelan induk organisasi yang telah dibangunkan sebelum ini iaitu Pelan Induk Sumber Manusia PERKESO 2016-2020 dan Pelan Strategik PERKESO 2016-2020.
Akhir kata, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman merupakan seorang pemimpin yang berwawasan dan berpandangan jauh. Beliau sentiasa mencetuskan idea-idea baru untuk meningkatkan dan memperkembangkan perlindungan keselamatan sosial di Malaysia. Di bawah kepimpinannya, pelbagai inisiatif PERKESO menjadi Amalan Terbaik (Best Practice) dalam bidang keselamatan sosial antarabangsa. Beliau juga seorang yang rendah diri, komited dan amat prihatin terhadap perlindungan sosial. Sumbangan beliau kepada bidang keselamatan sosial mendapat pengiktirafan bukan sahaja di Malaysia bahkan di arena antarabangsa.